Muka Surat Rahsia

February 06, 2018 Haruki Kawazoe 0 Comments


Cerita di bawah tiada kaitan dengan yang hidup dan mati. Ia hanyalah rekaan semata-mata untuk tujuan tertentu.

Muka Surat 1

“Pssstt… weyh, Hakim…”

Hakim tersentak daripada tidurnya yang nyenyak. Kelihatan Aliah sedang tersenyum di sebelahnya.

“Eh, ye.. a…” kata-kata Hakim tidak dapat ditafsir. Dia masih belum sedar sepenuhnya daripada mimpi.

Aliah menghulurkan sehelai tisu kepada lelaki di sebelahnya itu. “Nah, lap muka tu dengan tisu ni. Bagi fresh sikit…” katanya sambil menghulurkan tangan merentasi ruang antara meja mereka berdua.

Hakim segera mengambil tisu tersebut dan mengelap mukanya. Dia berterima kasih kepada Aliah kerana menolongnya. Kalau dilihat muka mengantuk itu oleh Cikgu Hus, pasti kepalanya akan terkena sebatang pen marker.

“Aliah, terima ka…” kata-kata Hakim terhenti apabila melihat Aliah menutup mulutnya. Dia kelihatan seperti sedang menahan gelak. “Eh, kau dah kenapa?” tanya Hakim, curiga.

Aliah tidak segera menjawab. Dia mengeluarkan cermin daripada bawah meja dan menghalakannya ke arah Hakim.

“APAAAAA?! APA YANG KAU DAH BUAT NI?!”

Jeritan Hakim menarik perhatian semua pelajar dalam kelas tersebut termasuk Cikgu Hus yang berada di hadapan. Setiap muka menoleh ke arahnya kemudian kedengaran ketawa bergema di segenap sudut kelas. Hakim cuba untuk menutup mukanya dengan tangan. Dia lantas bangun dan bergerak ke hadapan untuk meminta izin daripada Cikgu Hus untuk keluar daripada kelas.

“Ada apa ni sampai tutup-tutup muka?” tanya Cikgu Hus yang belum perasan akan keadaan sebenar Hakim.

“Cikgu, izinkan saya ke tandas sebentar.” 

“Alihkan tangan tu dulu, Wan Hakim, saya nak tengok.”

Hakim perlahan-lahan mengalihkan kedua-dua belah tangannya. Pipi Cikgu Hus tiba-tiba kembung, mulutnya ditutup oleh tangan kanannya manakala tangan kirinya mengisyaratkan Hakim untuk meneruskan apa yang ingin dia lakukan.

Hakim keluar daripada kelas itu dengan keadaan mukanya merah padam kerana malu. Namun, warna merah itu tidak jelas kelihatan kerana ditutupi ink hitam. Habis comot mukanya yang macho itu disebabkan ink hitam. Dia berjalan menuju ke tandas sambil menutup-nutup mukanya daripada dilihat oleh orang yang berada di sekitar.

###

“TAGUNA KAU!”

Jeritan Hakim itu mengejutkan burung yang sedang bertenggek di atas ranting pokok bunga di luar tandas.

“Setiap hari dia nak kenakan aku. Sampai bila hidup aku akan aman?” Hakim mengenangkan nasib dirinya. Tangannya ligat menonyoh mukanya agar ink-ink hitam yang melekat segera tertanggal.

“Nasiblah dia tak guna ink kekal…”

Hakim berada di dalam bilik air selama beberapa minit. Habis tenaganya digunakan untuk menyental ink-ink tersebut daripada mukanya. Setelah selesai dia menutup paip air sinki dan bergerak ke arah kelasnya dengan pantas.

Hakim meminta izin daripada Cikgu Hus untuk masuk ke dalam kelas. Dia berjalan ke arah tempat duduknya sambil di pandang oleh rakan-rakannya yang lain. Mereka masih mahu mengelakkannya! Dia berhenti sebentar dan memandang muka Aliah dengan wajah tidak puas hati sebelum duduk di atas kerusinya.

“Nah”

Aliah menghulurkan sehelai tisu kepada Hakim.

Hakim tidak segera mengambilnya. “Kau mahu kenakan aku lagi?” soal Hakim kerana ragu-ragu dengan tindakan Aliah.

“Mana ada. Nah, ambillah. Keringkan muka tu.”

Hakim mengambil tisu tersebut dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Dia memeriksa keadaan tisu tersebut sebelum digunakan.

“Kan aku dah kata, tak ada apa-apalah. Jangan takut,” kata Aliah sambil tersenyum. “Lap la muka tu”

Setelah yakin dengan kesucian tisu tersebut, Hakim mengelap mukanya sehingga kering.

“Aliah… tolonglah, jangan kenakan aku lagi.” Pinta Hakim sambil mengeringkan mukanya.

Aliah menoleh ke arah Hakim lalu tersenyum. Hakim juga menoleh ke arah Aliah.

“Tak seronoklah hidup kalau tak tengok awak menggelabah.” Kata Aliah.

Mereka berdua kemudian kembali menumpukan perhatian kepada ajaran Cikgu Hus. Entah betul apa yang diajar pun Hakim tidak tahu. 


You Might Also Like

0 comments: